PUTRAJAYA, 18 Oktober - Lebih 36,000 kes kebakaran direkodkan setiap tahun di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohamad.
Beliau berkata, trend itu kekal membimbangkan dan memerlukan tindakan pencegahan berterusan melalui tiga pendekatan utama iaitu pendidikan, pembudayaan serta penguatkuasaan bagi membentuk masyarakat celik keselamatan.
Menurutnya, JBPM sentiasa melaksanakan langkah proaktif dan berterusan bagi membendung risiko serta mengurangkan kemusnahan nyawa dan harta benda akibat kebakaran.
"Segalanya bermula dengan ilmu. Matlamat kita adalah untuk melahirkan generasi atau masyarakat yang bukan sahaja tahu tentang kebakaran tetapi bertindak apabila keadaan memerlukannya.
"Ilmu kebakaran sudah disemai bermula dari peringkat pendidikan awal hingga peringkat pendidikan komuniti. Di peringkat sekolah, kita ada Kelab Bomba Cilik, Bomba Junior dan Kadet Bomba.
"Manakala di peringkat pengajian tinggi, kita telah menubuhkan Briged Bomba dan juga Pegawai Bomba Bantuan Siswa.
"Dalam kalangan masyarakat pula, kita telah mengadakan Pasukan Bomba Komuniti dan juga Pasukan Bomba Sukarela," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Hari Pencegahan Kebakaran 2025.
Beliau turut menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang keselamatan bukan bertujuan menyusahkan, sebaliknya menjadi mekanisme penting untuk memastikan pematuhan serta melindungi keselamatan awam.
Dalam pada itu, Karnival Hari Pencegahan Kebakaran 2025 mencatat kejayaan dengan lebih 1,000 aktiviti kesedaran melibatkan 250,000 peserta di seluruh negara.