fb fb fb fb fb

Letupan Putra Heights: 36 penduduk Taman Harmoni fail saman sivil

Kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights pada 1 April lepas /BERNAMA

SUBANG JAYA, 18 Oktober- Seramai 36 penduduk Taman Putra Harmoni, Putra Heights, memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam terhadap lima pihak, termasuk Petronas Gas Berhad, berhubung kejadian letupan dan kebakaran pada 1 April lepas.

Wakil plaintif, Loh Poh Heng, berkata tindakan saman itu turut difailkan terhadap Hong & Hong Homes Sdn Bhd, Pinterest Ventures Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Kerajaan Malaysia.

Katanya pihaknya telah melantik bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, sebagai peguam utama bagi menuntut pampasan atas kerugian harta, kesihatan dan trauma emosi, selain menuntut keadilan dan ketelusan siasatan.

Menurut Loh, letupan paip penghantaran gas itu berlaku pada jam 8.07 pagi, hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kebakaran besar yang memusnahkan puluhan rumah di kawasan kejiranan Topaz dan Citrine di taman perumahan berkenaan.

“Kebakaran itu marak selama lebih tujuh jam sebelum berjaya dipadamkan. Rumah kami musnah, kehidupan porak-peranda, dan ramai penduduk mengalami kecederaan serius termasuk melecur teruk serta trauma emosi yang masih dirasai hingga kini,” katanya pada sidang media di perumahan berkenaan, hari ini.

Penduduk mendakwa tragedi itu berpunca daripada kecuaian pihak terbabit, termasuk pemasangan talian paip gas terlalu hampir dengan kediaman serta kelulusan kerja pembinaan di atas saluran paip, walaupun kebimbangan telah dibangkitkan lebih awal.

Sementara itu, seorang daripada plaintif, Shankar Robindran berkata perayaan Deepavali kali ini amat berbeza kerana pertama kali beliau menyambutnya tanpa rumah sendiri selepas lebih 15 tahun menetap di taman itu.

“Sekarang kami menyewa, jadi memang lain rasanya. Kami tiada ‘mood’ nak buat apa-apa sebab masih sedih dan trauma dengan apa yang berlaku,” katanya pada sidang media itu.

Sementara itu, Loo Yoke Chen, yang cedera parah dalam kejadian itu, mendakwa mengalami lecur pada kaki dan belakang badan.

Beliau yang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas berkata kini masih dalam cuti sakit selepas menjalani dua pembedahan pemindahan kulit.

Insiden kebakaran saluran paip gas pada 1 April lepas itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah lain tidak terjejas. -BERNAMA

SITI NOORAIN ABDULLAH