fb fb fb fb fb

KKM sedia bantu kerajaan negeri laksana program vaksinasi influenza

Foto hiasan

KOTA SAMARAHAN, 18 Oktober - Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia memberikan bantuan teknikal dan nasihat kepada kerajaan negeri yang berminat untuk melaksanakan program vaksinasi Influenza.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, buat masa ini KKM masih mengekalkan pemberian vaksin influenza kepada golongan warga emas, dengan kadar pemberian mencapai 95.05% di seluruh negara.

Ketika ini, terdapat lebih 8,000 dos vaksin influenza sedia untuk digunakan.

Namun, KKM belum mempunyai perancangan khusus untuk melaksanakan program vaksinasi influenza secara menyeluruh kerana ia melibatkan kos yang besar.

"Sekiranya terdapat kerajaan-kerajaan negeri yang berminat untuk melakukan program vaksinasi sendiri KKM bersedia untuk membantu dari hikmat teknikal dan juga nasihat," katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen 2025 Institut Latihan Kesihatan Malaysia (ILKKM) Zon Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini.

Menurut Datuk Lukanisman, meskipun Program Vaksinasi Influenza Kebangsaan belum diperluas kepada pelajar sekolah, KKM tetap meneruskan pelbagai program imunisasi lain yang sejajar dengan keperluan kesihatan awam.

Beliau turut memaklumkan bahawa negeri Selangor antara yang aktif menjalankan program vaksinasi Influenza di peringkat negeri dengan penyertaan lebih 12,000 pelajar.

Mengulas mengenai varian influenza semasa,  Datuk Lukanisman berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) masih mengesan empat varian utama iaitu A, B, C dan D, dengan varian A dan B lebih mudah menjangkiti manusia.

EMMI NORALIZA ADNAN