Lebih 300 peserta meriahkan Pertandingan Wau Tradisi di Mata Ayer

FOTO RTM

MATA AYER, 28 Mac – Lebih 300 peserta dari Perlis dan Kedah tidak melepaskan peluang menyertai Pertandingan Wau Tradisi Terbuka Kampung Pokok Sena sempena Aidilfitri dan musim Angin Timur di negeri ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertandingan mempamerkan lebih 1,000 wau jenis Bulan, Jala Budi, Kucing dan Helang.
  • Tujuan galakkan kreativiti masyarakat dan tarik penyertaan generasi muda dalam warisan permainan tradisi Melayu.
  • Menjadi platform mengeratkan silaturahim serta kongsi pengalaman pembuatan wau untuk tujuan komersial.
  • Program berpotensi menarik pelancong sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2026 dan dirancang dianjur berkala setiap musim Angin Timur.

Pertandingan anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Pokok Sena itu melibatkan lebih 1,000 wau terdiri daripada Wau Bulan, Wau Jala Budi, Wau Kucing dan Wau Helang.

Pengerusi JPKKP Kampung Pokok Sena, Mohd Nor Ismail berkata, penganjuran program tersebut bertujuan menggalakkan masyarakat setempat menonjolkan kreativiti dalam menghasilkan wau sebagai warisan permainan tradisi Melayu, selain menarik penyertaan generasi muda.

Menurut beliau, program itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta di samping berkongsi pengalaman dalam penghasilan wau untuk tujuan komersial.

“Program ini juga berpotensi menarik pelancong sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2026, sekali gus mempromosikan seni warisan tempatan kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pertandingan berkenaan yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan akan berakhir petang esok.

Pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai lebih RM3,000 ditawarkan kepada para pemenang.

Susulan sambutan menggalakkan, pihak JPKKP Kampung Pokok Sena merancang untuk menganjurkan program sama secara berkala setiap kali musim Angin Timur atau selepas musim menuai padi.