fb fb fb fb fb

Penerima Bantuan Kewangan Bulanan di seluruh Wilayah Persekutuan bakal terima RM800

PUTRAJAYA, 5 April - Seramai 30,300 penerima Bantuan Kewangan Bulanan di seluruh Wilayah Persekutuan akan menerima bantuan awal Ramadan dan Aidilfitri sebanyak RM800 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad memberitahu, bantuan Ramadan dibayar secara berperingkat bermula 4 April.

Bantuan Aidilfitri pula dibayar pada minggu ketiga Ramadan.

"Kami ini hanyalah sebagai operator untuk menyampaikan bantuan ini kepada mereka, untuk memastikan amal jariah ini sampai kepada orang ramai. Dan kita harapkan apa yang kita buat ini sebagai platform menunjukkan bahawa wang yang diberikan pembayar zakat itu sampai kepada mereka. Kita juga mengharapkan supaya masyarakat berikan kepercayaan kepada MAIWP dalam soal menguruskan zakat fitrah mereka dan zakat harta mereka," menurut Idris di sini.

Bantuan kewangan ini merupakan bayaran tambahan kepada bantuan bulanan sedia ada yang diterima iaitu RM300.

(Idris ketika Majlis Penyampaian Bantuan Ihya Ramadan dan
Watikah Pelantikan Ketua Amil dan Amil Zakat Fitrah Tahun 1442H)

Idris berharap semua penerima dapat memanfaatkan wang bantuan ini sebaik mungkin sebagai perbelanjaan puasa dan persediaan Aidilfitri.

Pada majlis tersebut sebanyak 811 buah masjid, surau jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan menerima peruntukan sebanyak RM9.46 juta untuk program pengimarahan sempena bulan Ramadan.

Turut disampaikan watikah pelantikan kepada 74 orang Ketua Amil dan 809 Amil telah dilantik bagi memudahkan orang ramai menunaikan zakat fitrah.

Media Baharu