KUALA LUMPUR, 5 April - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang berhubung rapat dengan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines), melakukan siasatan berhubung insiden pesawat MH2664 dari Kuala Lumpur ke Tawau Sabah yang terpaksa berpatah balik petang semalam kerana isu teknikal.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Kapten Chester Voo, berkata ia bagi memastikan segala perkara berkaitan keselamatan teknikal dapat ditangani sebaiknya mengikut prosedur keselamatan dan peraturan.
Menurutnya pesawat berkenaan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengikut prosedur keselamatan ditetapkan dan mendarat dengan selamat pada pukul 5.03 petang.
(kenyataan media yang dikeluarkan CAAM)
"Susulan perkara itu, CAAM akan melihat semula Sistem Pengawasan Data Penerbangan dalaman Malaysia Airlines yang memantau dan merekodkan semua profil data penerbangan pesawat tersebut. Data awal menunjukkan maklum balas yang betul daripada kru operasi berhubung isu teknikal ini," kata Chester Voo dalam satu kenyataan.
Katanya, juruterbang dan pembantu juruterbang mengendalikan isu teknikal itu dengan selamat dan pesawat berkenaan kembali ke Kuala Lumpur bagi tujuan penyelenggaraan.
"CAAM akan terus memantau situasi berkenaan dan tidak akan berkompromi atas sebarang isu yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan sekuriti operasi syarikat penerbangan serta orang awam," katanya lagi.