fb fb fb fb fb

DBKL dan MRT Corp meterai satu MoU, kerjasama membangunkan ibu negara

KUALA LUMPUR, 5 April- Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai diantara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini dalam sebuah majlis ringkas di Menara 1 DBKL.

Bagi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, MoU ini mengukuhkan kerjasama utuh di antara MRT Corp dan DBKL dalam membangunkan Kuala Lumpur sebagai "Bandar untuk Semua" dengan menyediakan mobiliti yang cekap dan mesra alam.

"MRT 3 ini akan menggerakkan KL ke arah neutral karbon seperti yang telah kita rancangkan ini bila MRT3 ini dia akan melengkapkan sistem pengangkutan awam pada masa sekarang pun apabila MRT2 di buka, perlahan-lahan orang ramai akan menjurus ke penggunaan pengangkutan awam," kata Shahidan kepada pemberita RTM.

Hadir dalam majlis menandatangani MOU tersebut ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Hj. Mahadi Che Ngah bagi pihak DBKL, manakala Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim menandatangani bagi pihak syarikat.


(Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyaksikan upacara MoU tersebut di
Menara 1 DBKL hari ini/DBKL)

Memorandum persefahaman ini memfokuskan pembinaan Projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) yang dijangka bermula bulan Jun tahun ini.

Jajaran laluan MRT3 sepanjang 50.8 kilometer ini bakal mewujudkan 31 stesen, 10 stesen pertukaran dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030.

Media Baharu