KLANG, 5 April - Seorang pemandu nyaris maut apabila lori yang dipandunya melanggar sebuah kontena.
Kontena yang mengandungi barangan kitar semula itu, jatuh dari jejambat setinggi 12 meter dan telah menghempap bahagian belakang sebuah lori sebelum dilanggar lori yang dipandu mangsa dan mengakibatkan mangsa tersepit.
Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata, seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 1.17 tengah hari.
Mangsa Rusaini Hassani, 49 tahun yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk rawatan lanjut.
(FOTO ORANG RAMAI)
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dalam kenyataan berkata berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu berlaku akibat pemandu lori barangan kitar semula, dari arah jejambat Westport menuju ke Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), hilang kawalan ke atas kenderaan dipandunya.
Lori tersebut terbabas dan kontena dibawanya telah terjatuh ke bawah susur jalan dan menghempap kenderaan yang melalui jalan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.