fb fb fb fb fb

7 aduan babitkan aktiviti pengisian petrol RON95, pemandu kenderaan asing

PUTRAJAYA, 5 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima tujuh aduan berkaitan aktiviti pengisian petrol RON95 oleh pemandu kenderaan asing sejak sempadan negara dibuka semula pada 1 April lalu.

Menurut Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam, dua daripada aduan tersebut melibatkan kenderaan plat pendaftaran Singapura seperti yang tular di media sosial.

Hingga kini dua stesen minyak di Johor disiasat kerana dipercayai terlibat dengan penjualan petrol bersubsidi itu kepada kenderaan asing.

Siasatan dijalankan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

(Aduan berkaitan aktiviti pengisian petrol RON95 oleh pemandu kenderaan asing)

"Ekoran daripada insiden-insiden tersebut, kita telah mengarahkan supaya pemeriksaan yang lebih kerap dan ketat dilaksanakan di stesen-stesen minyak. Kita akan pantau dan akan memberi amaran kepada semua pemilik stesen minyak. Kepada semua syarikat minyak sekiranya mereka tertangkap atau didapati bersalah membabitkan kes ini maka kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang bersesuaian dengan undang-undang," kata Azman.

Selain aktiviti pemantauan dan lawatan mengejut oleh penguatkuasa KPDNHEP, pihaknya turut memperkenalkan pelekat-pelekat amaran untuk ditampal di setiap pam minyak terutama di kawasan sempadan negara.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena sambutan ulang tahun ke-50 Hari Penguatkuasaan KPDNHEP di sini.

Media Baharu