fb fb fb fb fb

Lebih 26,000 beg darah dikutip di Terengganu

Foto BERNAMA

KUALA NERUS, 18 Julai - Kutipan darah di negeri Terengganu pada tahun lepas secara keseluruhan ialah sebanyak 26,449 beg darah, meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding tahun 2023.

Jumlah tersebut adalah hasil kutipan daripada dua pusat pendermaan darah, iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebanyak 21, 459 beg dan Hospital Kemaman, 4,990 beg darah.
 
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasamani Embong berkata, peningkatan itu hasil komitmen dan kerjasama yang amat baik di antara perkhidmatan Perubatan Transfusi negeri Terengganu dan semua penganjur serta penderma darah. 

"Yang kita kutip daripada HSNZ kita guna semuanya untuk Terengganu, tetapi yang dikutip di Hospital Kemaman ia akan digunakan untuk Terengganu dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), sebab ia diproses di sana," jelasnya.

Kutipan tersebut juga berjaya memberi manfaat dan menyelamatkan nyawa serta memberi kelangsungan hidup kepada lebih 30,000 pesakit di seluruh negeri Terengganu pada tahun 2024. Bertepatan dengan tema Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun ini, “Derma Darah: Semai Harapan, Bersama Selamatkan Nyawa”.
 
Datuk Dr. Kasemani berkata demikian selepas menyempurnakan Program Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Terengganu tahun 2025 di Raia Hotel and Convention Center Kuala Nerus.
 
Pada majlis ini beliau turut menyampaikan anugerah kepada penganjur dan penderma darah paling aktif.                                                                                                                                                                                 

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI