fb fb fb fb fb

Ahli KEADILAN digesa tidak terperangkap dalam naratif pihak lawan - PM

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 18 Julai - Ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) digesa tidak terperangkap dalam naratif dibawa pihak lawan yang cuba mencipta persepsi kononnya berlaku krisis atau konspirasi.

Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri merangkap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, segala dakwaan tersebut hanyalah percubaan untuk melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan parti.

"Saya sentiasa terbuka untuk memberi penjelasan namun dalam hal ini, saya tidak boleh menyatakannya secara terbuka sebelum ini kerana perlu menghormati proses serta kebijaksanaan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan pimpinan KEADILAN Selangor, yang mana beliau menyatakan rasa puas hati terhadap semangat dan kekuatan akar umbi parti yang dilihat masih utuh.

Pada pertemuan itu, Datuk Seri Anwar mengambil kesempatan menjelaskan beberapa isu semasa, termasuk pelantikan Ketua Hakim Negara yang sebelum ini menjadi sasaran tuduhan dan fitnah kononnya kerajaan mahu merosakkan institusi kehakiman.

"Alhamdulillah, keputusan Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong telah menjawab segala cercaan dan tohmahan tersebut," katanya.

Menurut Datuk Seri Anwar, kuasa yang diamanahkan perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab kerana ia boleh menjadi 'kilauan yang memukau dan merabunkan' jika disalah guna.

Beliau turut menegaskan pentingnya mempertahankan prinsip ketelusan dan amalan semak imbang.

"Mahkamah mesti bebas, tetapi bukan mutlak tanpa sebarang pertanggungjawaban. Di negara demokrasi besar seperti Perancis, Jerman dan Australia, eksekutif tetap mempunyai ruang menyuarakan pandangan.

"Yang penting, pelantikan dibuat berdasarkan kelayakan dan integriti, bukan sentimen atau rekaan musuh politik," jelas beliau.

Dalam pada itu beliau berkata, amanah yang digalas sebagai Perdana Menteri akan terus dipenuhi dengan penuh prinsip dan kekuatan.

Jelasnya, banyak pencapaian telah dilaksanakan, termasuk kenaikan gaji penjawat awam, gaji minimum syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bantuan merentas kaum dan pelbagai lagi.

"Jentera parti perlu ke hadapan menjelaskan dasar-dasar ini, kerana apabila kita berdiam, fitnah akan tersebar," ujarnya.

Menyentuh situasi pasca pemilihan parti, beliau turut menegaskan KEADILAN perlu terus maju ke hadapan.

"Yang kalah perlu hormat keputusan, manakala yang menang mesti merangkul semua kekuatan. Inilah parti yang mewakili suara rakyat pelbagai latar, bukan milik satu kaum atau satu kelompok," katanya.

Katanya, KEADILAN perlu memfokuskan usaha memperkukuh perpaduan dan kekuatan untuk berdepan dengan musuh yang mempunyai kelebihan daripada segi dana, pengaruh dan rangkaian meluas.

"Tetapi kita punya kekuatan sebenar, rakyat, semangat reformasi dan iltizam memperkasa negara. Lawan tetap lawan, dengan hujah, fakta dan keyakinan demi masa depan negara yang lebih adil dan bermaruah," katanya

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM