LABUAN, 27 Januari - Lebih 25,000 umat Islam di kepulauan ini membanjiri Dataran Labuan pada malam ini, berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.
Menurut penganjur Datuk Mohd Rafi Datuk Ali Hassan, program Labuan Berselawat diadakan bersempena Sambutan 40 Tahun Wilayah Persekutuan Labuan yang akan disambut pada 1 Februari ini.
"Majlis ilmu ini adalah ruang dan peluang terbaik untuk mendekatkan diri dengan Rasulullah SAW selain menyemai perpaduan dalam kalangan masyarakat selaras konsep Malaysia MADANI," katanya kepada RTM.
Bukan itu sahaja, hasil tinjauan RTM, program selawat itu turut mendapat sambutan dari Sabah, Sarawak dan negara Brunei Darussalam yang hadir untuk menyaksikan penceramah bebas dari Indonesia iaitu Prof. Ustaz Dr. Abdul Somad.
Beliau menyampaikan ceramah yang bertajuk 'Keluarga Bahagia Jalan Menuju Syurga' di Dataran Labuan.
Orang ramai yang hadir turut mengibarkan bendera Palestin sebagai menunjukkan solidari ke atas Semenanjung Gaza.
Terdahulu, lebih 15,000 umat Islam di kepulauan itu menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah.
Program turut diserikan dengan persembahan marhaban dan qasidah.