fb fb fb fb fb

Lebih 230,000 pengunjung bagi Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI

Pengunjung bagi Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Stadium Nasional Bukit Jalil

KUALA LUMPUR, 10 Disember- Penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI selama tiga hari di Stadium Nasional Bukit Jalil menerima lebih 230,000 kunjungan, kata sekretariat penganjur.

Perkara itu sekali gus berjaya mencapai matlamat untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat.

Jumlah kehadiran pengunjung yang direkodkan itu merupakan petunjuk jelas bahawa program itu sebagai pemudah cara urusan kerajaan dengan rakyat.

Ia menghimpunkan 102 perkhidmatan melibatkan 36 reruai dalam satu lokasi.

Program berkenaan bertepatan dengan setahun tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan, kerana ia memberi peluang kepada rakyat untuk menilai prestasi setiap kementerian selain memberikan cadangan yang perlu.

Program itu turut menganjurkan Jualan Mega MADANI yang menawarkan harga barangan 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memberikan diskaun kompaun saman trafik dan penukaran topi keledar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI akan diteruskan di peringkat negeri dan Selangor bakal menjadi tuan rumah penganjurannya pada Januari 2024.

Anwar turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dan program itu dilaksanakan dengan berjaya hasil kerjasama jemaah pimpinan masyarakat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI