Industri dalam akademi teras keberhasilan transformasi TVET 2.0

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Industri perlu memimpin pemetaan kompetensi, reka bentuk modul, pemilihan mesin, penilaian dan penempatan bukan sekadar menjadi tetamu.
  • TVET 2.0 menuntut pemilikan bersama dan KPI dua hala bagi institusi serta industri, fokus pada kemas kini modul dan penggunaan peralatan.
  • Perkongsian aset seperti makmal konsortium, pajakan dan pusat latihan vendor menyelesaikan jurang teknologi terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana.
  • Kejayaan diukur melalui bukti produktiviti graduan, gaji permulaan, kenaikan pendapatan serta kesinambungan kerjaya, bukan semata-mata kebolehpasaran.

Transformasi TVET sering dibicarakan melalui bahasa yang mudah dijual, seperti kurikulum baharu, peralatan moden, pensijilan tambahan dan kerjasama strategik.

Namun persoalan yang lebih sukar dan jarang disentuh ialah siapakah yang benar benar menguasai proses latihan, menentukan standard kompetensi dan menanggung risiko apabila graduan gagal menepati keperluan pekerjaan.

Selagi industri hanya hadir sebagai tetamu jemputan, penaja acara atau rakan memorandum persefahaman, perubahan yang berlaku masih berada pada permukaan. TVET 2.0 memerlukan peralihan kuasa, bukan sekadar pertambahan program.

Keperluan tersebut mendesak kerana struktur ekonomi negara sedang berubah lebih pantas daripada kitaran pembaharuan institusi.

Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 menyasarkan transformasi 3,000 kilang pintar menjelang 2030 melalui automasi, pendigitalan, kecerdasan buatan, Internet Pelbagai Benda dan sistem pengeluaran bersepadu.

Sasaran tersebut bukan sekadar agenda menaik taraf mesin. Setiap kilang pintar memerlukan juruteknik, penyelia, pengatur cara, penganalisis data, pakar penyelenggaraan, pegawai keselamatan dan pengurus operasi yang memahami hubungan antara mesin, data, manusia dan keputusan perniagaan.

Masalah sebenar bukan semata mata kekurangan pelatih yang berminat dalam bidang kemahiran. Negara berdepan jurang antara jenis pekerjaan yang mahu diwujudkan dengan bentuk latihan yang masih diwarisi daripada zaman pengeluaran berintensif buruh.

Bank Negara Malaysia pernah mengingatkan bahawa penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi yang tidak mencukupi, bersama ketidakpadanan kemahiran, menyumbang kepada guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran tinggi.

Apabila graduan bekerja di bawah tahap kelayakan, masyarakat lazimnya menyalahkan sikap, komunikasi atau pilihan kursus mereka. Kritikan tersebut menutup persoalan lebih besar tentang mutu ekosistem pekerjaan dan ketepatan reka bentuk latihan.

Kesilapan paling lazim dalam perbahasan TVET ialah menganggap institusi menghasilkan graduan, manakala industri memilih hasil yang terbaik. Pembahagian peranan sedemikian sudah tidak lagi munasabah.

Industri yang mahu bakat khusus perlu terlibat sejak peringkat pemetaan kompetensi, reka bentuk modul, pemilihan mesin, pembinaan simulasi, penilaian prestasi dan penempatan pekerjaan.

Majikan tidak boleh mengadu bahawa graduan belum bersedia sekiranya hanya muncul pada minggu terakhir untuk sesi temu duga.

Atas sebab tersebut, slogan industri dalam akademi mesti diterjemahkan sebagai model operasi, bukan program hubungan awam. Sebuah institusi tidak menjadi dekat dengan industri hanya kerana mempunyai panel penasihat, beberapa lawatan kilang dan satu minggu latihan industri.

Kedekatan sebenar wujud apabila proses industri berlangsung dalam kampus. Pelatih mengendalikan tugasan, data, tempoh dan pelanggan sebenar serta menerima akibat apabila hasil kerja gagal mencapai standard.

Logik ini selari dengan pembelajaran situasi, yang melihat kompetensi terbentuk melalui penyertaan dalam amalan sebenar, bukan melalui penerangan mengenai amalan tersebut.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa meletakkan pembelajaran berasaskan pekerjaan sebagai jambatan antara pendidikan dengan dunia kerja. Namun jambatan tidak berguna sekiranya hanya dibina pada penghujung program.

Latihan industri selama beberapa bulan tidak mampu menampung kelemahan kurikulum yang bertahun tahun terpisah daripada perubahan teknologi.

Hubungan dengan tempat kerja perlu bermula sejak semester pertama melalui projek pelanggan, bengkel bersama, penilaian oleh pengamal, simulasi standard operasi, penyelesaian masalah pengeluaran dan pendedahan kepada budaya keselamatan.

Kerajaan sudah memberi isyarat bahawa TVET 2.0 perlu bergerak ke arah tersebut. Pada Jun 2026, kerajaan meluluskan sehingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran digunakan bagi memperkukuh latihan, pendedahan industri dan pembangunan kemahiran.

Syarat yang ditekankan cukup penting, pihak industri dan majikan mesti bekerjasama dengan kerajaan melalui penyelarasan yang lebih berkesan. Dana boleh membeli peralatan dan membiayai latihan, tetapi wang tidak mampu menggantikan struktur kerjasama yang lemah.

Struktur baharu perlu bermula dengan Petunjuk Prestasi Utama dua hala. Institusi wajar dinilai berdasarkan kelajuan mengemas kini modul, kadar penggunaan peralatan, kompetensi pengajar, mutu penempatan dan perkembangan gaji graduan.

Industri pula perlu dinilai berdasarkan jumlah pakar yang ditempatkan, nilai aset yang dikongsi, bilangan projek sebenar yang dibawa ke kampus, data pasaran kerja yang diserahkan dan kadar pengambilan pelatih.

Kerjasama tanpa tanggungjawab terukur mudah berubah menjadi majlis pertukaran dokumen, gambar rasmi dan kenyataan media yang tidak mengubah pengalaman pembelajaran.

Dalam kerangka Triple Helix, inovasi lahir apabila kerajaan, industri dan institusi pendidikan tidak bergerak dalam lorong berasingan. Setiap pihak memasuki sebahagian ruang pihak lain.

Akademi memahami produktiviti dan pasaran. Industri menerima tanggungjawab pendidikan. Kerajaan bertindak sebagai penyelaras, pembiaya strategik dan pembuka halangan peraturan.

TVET 2.0 akan gagal sekiranya hubungan tiga pihak masih bersifat transaksi, dengan institusi meminta tajaan, industri meminta pekerja dan kerajaan meminta laporan pencapaian. Transformasi memerlukan pemilikan bersama terhadap hasil.

Pemilikan bersama juga menuntut perubahan terhadap cara bengkel dan makmal dibangunkan. Banyak institusi mempunyai peralatan yang mahal tetapi kurang digunakan kerana masalah kekurangan bahan, lesen perisian, penyelenggaraan, jurulatih bertauliah atau projek yang sesuai.

Tanpa aliran kerja industri, peralatan canggih mudah bertukar menjadi bahan pameran.

Model yang lebih matang membolehkan syarikat mengendalikan hab kompetensi, makmal aplikasi atau unit pengeluaran kecil dalam kampus, dengan tatakelola jelas yang menjaga keselamatan, kualiti latihan dan kepentingan awam.

Pendekatan tersebut turut menyelesaikan masalah pembiayaan yang sering menghimpit institusi. Teknologi industri berubah terlalu cepat untuk ditanggung sepenuhnya melalui peruntukan awam dan kitaran perolehan biasa.

Sebaliknya, perkongsian aset, model pajakan, makmal konsortium, sumbangan lesen, pusat latihan vendor dan penggunaan bersama peralatan boleh mengurangkan jurang teknologi.

Industri memperoleh akses kepada bakat dan ruang ujian. Institusi memperoleh teknologi serta kepakaran. Pelatih pula belajar dalam ekosistem yang hampir menyamai tempat kerja. Nilai kerjasama perlu diukur melalui kapasiti produktif yang diwujudkan.

Namun penglibatan industri tidak boleh diserahkan hanya kepada syarikat besar. Perusahaan kecil dan sederhana membentuk sebahagian besar realiti ekonomi tempatan, tetapi banyak syarikat tidak mempunyai sumber untuk membina akademi sendiri.

Penyelesaian yang lebih adil ialah membentuk konsortium industri mengikut kluster wilayah. Beberapa syarikat boleh berkongsi sebuah makmal, tenaga pakar, modul dan saluran pengambilan pekerja.

Institusi di Johor, Pulau Pinang, Sarawak atau Pantai Timur tidak semestinya menawarkan pengalaman latihan yang seragam. Setiap kampus perlu membina pengkhususan berdasarkan ekonomi setempat.

Data TalentCorp menunjukkan MyCOL 2024/2025 mengenal pasti 66 pekerjaan kritikal merentas 18 sektor. Senarai tersebut merangkumi jurutera pengeluaran, juruteknik mekanikal, profesional pembuatan, pembangun perisian, pakar keselamatan siber, juruteknik pesawat, jurukimpal, mekanik kenderaan dan operator loji.

Tekanan pengambilan bukan berpunca daripada kekurangan sijil semata mata, tetapi juga kekurangan calon yang benar benar bersedia, jurang saluran bakat dan kelayakan yang tidak sepadan dengan tempat kerja.

Hakikat tersebut membawa kita kepada isu gaji. Seruan supaya graduan TVET menerima gaji premium tidak boleh berhenti sebagai kempen moral kepada majikan.

Upah tinggi lahir apabila pekerja mampu mengurangkan masa henti mesin, meningkatkan hasil, mengawal risiko, mengoptimumkan bahan, mengesan kerosakan dan menyelesaikan masalah dengan lebih pantas.

Graduan yang memiliki satu sijil umum sukar menuntut nilai tinggi. Sebaliknya, gabungan kelayakan utama, pensijilan profesional, pentauliahan mikro, portfolio projek dan pengalaman mengendalikan sistem sebenar membina bukti produktiviti yang boleh dinilai oleh pasaran.

Atas dasar tersebut, kejayaan TVET tidak wajar diukur melalui kadar kebolehpasaran semata mata. Seseorang boleh dikira bekerja walaupun menerima tugas yang tidak sepadan, gaji rendah atau kontrak tanpa laluan kemajuan.

Ukuran yang lebih jujur perlu melihat tempoh mendapatkan pekerjaan, kesepadanan bidang, gaji permulaan, kenaikan pendapatan selepas dua atau tiga tahun, kadar kekal dalam industri, masa yang diperlukan untuk mencapai produktiviti dan peluang melanjutkan pensijilan.

Negara tidak memerlukan graduan yang sekadar mendapat kerja. Negara memerlukan pekerja yang berkembang menjadi juruteknologi atau teknologis, penyelia, usahawan dan pencipta penyelesaian.

Bahasa Inggeris Teknikal pula perlu dilihat sebagai alat pemindahan teknologi, bukan lambang kelas sosial. Manual mesin, dokumentasi perisian, protokol keselamatan, laporan audit dan komunikasi rantaian bekalan global banyak menggunakan bahasa tersebut.

Mereka perlu membentangkan laporan kerosakan, menjelaskan diagnosis, menulis prosedur, membaca spesifikasi, berunding dengan vendor dan mempertahankan keputusan teknikal dalam Bahasa Inggeris. Apabila bahasa diajar melalui kerja, keyakinan berkembang bersama kompetensi, bukan melalui hafalan tatabahasa.

Peranan pengajar TVET juga tidak boleh dibiarkan hanya menjadi penterjemah kurikulum lama ketika teknologi bergerak setiap bulan. Mereka memerlukan penempatan berkala dalam industri, akses kepada lesen profesional, penglibatan dalam projek sebenar dan ruang untuk kembali ke kampus membawa pengetahuan baharu.

Pada masa sama, pakar industri perlu diiktiraf sebagai tenaga pengajar bersama, bukan sekadar penceramah sejam. Pertukaran kepakaran dua hala akan membina keupayaan penyerapan institusi, yakni kebolehan mengenal pasti, memahami dan menggunakan pengetahuan luar untuk menghasilkan inovasi tempatan.

Transformasi tersebut turut mempunyai dimensi sosial. Pelatih daripada keluarga berpendapatan rendah, kawasan luar bandar dan komuniti kurang terwakili paling terkesan apabila latihan tidak sepadan dengan pekerjaan.

Mereka tidak mempunyai masa atau wang untuk membetulkan kesilapan sistem melalui kursus tambahan selepas tamat belajar. Oleh sebab itu, industri dalam akademi bukan agenda elit teknologi.

Model tersebut merupakan perlindungan sosial yang memastikan setiap jam latihan membawa nilai pasaran, setiap sijil mempunyai laluan kerjaya dan setiap pelatih memahami dunia pekerjaan sebelum memasuki pintu kilang.

Dasar TVET Negara 2030 sudah menggariskan lima teras dan 23 strategi yang melibatkan 12 kementerian, termasuk kerjasama industri yang produktif serta penyelarasan dengan NIMP 2030 dan sektor pertumbuhan bernilai tinggi.

Cabaran selepas dasar bukan lagi kekurangan visi, tetapi keberanian mengubah tatakelola. Institusi perlu melepaskan sebahagian kawalan. Industri perlu melabur sebelum mendapat pekerja. Kerajaan perlu memberi fleksibiliti tanpa mengorbankan akauntabiliti.

TVET 2.0 tidak akan dinilai melalui kemeriahan sambutan, jumlah reruai atau banyaknya slogan mengenai masa depan. Ukuran sebenar muncul apabila bengkel kampus berfungsi seperti pusat penyelesaian masalah industri dan apabila pakar syarikat mengajar bersama jurulatih.

Selain itu ukuran sebenar juga akan muncul apabila pelatih menghasilkan kerja yang mempunyai pelanggan dan apabila graduan memasuki pasaran dengan bukti produktiviti, bukan hanya sekeping sijil.

Industri dalam akademi bukan tambahan kepada transformasi TVET. Hubungan tersebut merupakan teras yang menentukan sama ada Malaysia sekadar membeli teknologi baharu atau benar benar membina manusia yang mampu menguasainya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Nurul Nisha Mohd Shah
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Cawangan Negeri Sembilan
E-mel: nurulnisha@uitm.edu.my


Tc. Mohd Fozi Hafiz Hassan
Pengajar TVET
Institut Kemahiran Belia Negara Pekan

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.