Lebih 200 anak PDRM Kedah terima sumbangan Kembali ke Sekolah 2026

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada anak-anak PDRM Kontijen Kedah.

ALOR SETAR, 16 Januari – Seramai lebih 200 anak warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah menerima sumbangan kelengkapan persekolahan menerusi Program Kembali ke Sekolah 2026, sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebanyak lebih 200 anak PDRM Kontinjen Kedah menerima kelengkapan persekolahan menerusi Program Kembali ke Sekolah 2026.
  • Penerima termasuk anak istimewa, anak yatim, keluarga berpendapatan bawah RM3,000 dan mangsa banjir.
  • Program diteruskan kerana keperluan masih wujud dan selari dengan komitmen Kerajaan MADANI terhadap kebajikan pendidikan.
  • Saifuddin hadir menyerahkan sumbangan di IPD Kota Setar, disertai isteri dan Ketua Polis Kedah.

Sumbangan itu membabitkan anak istimewa, anak yatim warga PDRM, keluarga berpendapatan di bawah RM3,000, mangsa banjir serta penerima tambahan yang layak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program berkenaan terus dilaksanakan kerana keperluannya masih wujud, khususnya dalam kalangan keluarga anggota keselamatan.

“Program Kembali ke Sekolah ini sudah beberapa kali saya laksanakan di Kedah dan ia masih diteruskan kerana setiap kali turun padang, saya dapat lihat sendiri keperluannya masih ada,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Semalam, beliau menghadiri Program Kembali ke Sekolah 2026 anjuran PDRM Kontinjen Kedah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

“Hari ini saya sampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada lebih 200 orang penerima terdiri daripada anak-anak PDRM Kontinjen Kedah. Melihat reaksi mereka yang teruja dan tersenyum sudah cukup bermakna,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan program seumpama itu selari dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyantuni kebajikan rakyat, khususnya aspek pendidikan dan kesejahteraan keluarga.

“Saya sentiasa berpegang kepada satu prinsip, selagi amanah ada di tangan, jangan disia-siakan. Setiap peluang untuk membantu orang lain, walaupun kecil, tetap membawa makna,” katanya.

Ketibaan beliau di program berkenaan turut diiringi isterinya, Datin Seri Norhayati Musa, dan disambut Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah.