fb fb fb fb fb

Lebih 20,000 Keluarga Malaysia meriahkan Program Kenduri Sekampung sempena JAKM Negeri Sembilan

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama penduduk Felda Palong
ketika hadir pada program Kenduri Sekampung Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi
Keluarga Malaysia di Felda Palong hari ini/ Foto BERNAMA)

JEMPOL, 8 Oktober - Lebih 20,000 Keluarga Malaysia hadir memeriahkan Program Kenduri Sekampung sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sembilan.

Program yang diadakan di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Palong 7 itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau meluangkan masa kira-kira dua jam beramah mesra bersama tetamu serta menikmati masakan tradisional Negeri Sembilan seperti daging masak lompap dan masak lemak cili api.

"Tahniah kepada warga Palong, yang sama-sama memasak yang sama-sama menggambarkan keharmonian penduduk di sini tuan-tuan dan puan-puan ,Sebenarnya inilah tujuan keluarga Malaysia diperkenalkan untuk menunjukkan keharmonian di dalam masyarakat kita, kita mempunyai penduduk yang berbilang kaum, kita ada Cina kita ada Melayu, kita ada India, kita ada Orang Asli, kalau kita tak mampu hidup secara aman dan harmoni tidak ada apa yang boleh kita laksanakan," kata beliau ketika berucap pada Majlis Kenduri Sekampung sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Kebangsaan Palong 7, di sini hari ini.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama penduduk Felda Palong
ketika hadir pada program Kenduri Sekampung Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi
Keluarga Malaysia di Felda Palong hari ini/ Foto BERNAMA)

Pada majlis sama, Ismail Sabri turut melancarkan Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia yang bakal diberi kepada penduduk Parlimen Jempol.

"Perasaan saya sungguh gembira, majlis sebesar ini diterima di Palong 7, saya sebagai tuan rumah mengucapkan banyak-banyak terima kasih lah kepada semua jentera yang datang," menurut peneroka Felda, Alias Khamis.

"Majlis macam ini, memang lah makcik warga Palong, semua menunggu kehadiran Perdana Menteri, jadi gotong royong dari petang semalam, masak- masak, macam-macam masakan segala agensi semua ada tolong masak," kata peneroka Felda, Zainuri Alias.

"Gembira dan seronok sebab rasa pertama kali program ini diadakan, jadi seronoklah dapat eratkan silaturahim semua kaum dekat sini," kata pekerja swasta, Thanalechumy Balakrishna.

Media Baharu