BACHOK, 13 September - Sebanyak 20,603 unit rumah nelayan berjaya dibaik pulih manakala 306 unit rumah baharu dibina di seluruh negara bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) sejak 2012.
Pelaksanaan program itu melibatkan peruntukan hampir RM241 juta bagi memastikan golongan nelayan berpendapatan rendah menikmati kediaman lebih selesa dan selamat.
Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Hamdan Mamat berkata, untuk tahun ini kadar bantuan ditetapkan sehingga RM20,000 seunit bagi baik pulih rumah, manakala pembinaan rumah baharu sehingga RM84,000 di Semenanjung dan RM90,000 di Sabah, Sarawak serta Labuan.
"Sekarang ini hampir siap 80 peratus di seluruh Malaysia, dan kita sasarkan menjelang 2025 semua projek ini akan siap sepenuhnya.
"Bagi baik pulih, jika rumah masih boleh dibaiki, kita baiki, tetapi jika tidak boleh, syaratnya pemohon perlu ada tanah, selain menjadi nelayan serta ahli persatuan nelayan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan kunci rumah kepada dua penerima di Perupok di sini yang turut dihadiri Pengarah LKIM Kelantan Sobri Ibrahim.
Di Kelantan sahaja, sebanyak 1,004 rumah diluluskan untuk baik pulih dengan jumlah peruntukan hampir RM10 juta.
Manakala bagi pembinaan baharu pula, 16 unit rumah telah diluluskan, merangkumi 12 unit siap dibina, manakala empat lagi akan dilaksanakan dalam fasa kedua tahun ini dengan kos RM1.2 juta.