fb fb fb fb fb

Lebih 2,000 pelajar baharu mendaftar di UniMAP

(FOTO MEDIA UniMAP)

PAUH PUTRA, 3 Oktober- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima 2,135 pelajar baharu dengan pecahan 1,091 lelaki dan 1,044 perempuan.

Angka itu jelas menunjukkan perkembangan yang positif dan sekali gus membuktikan bahawa program teknikal yang selalunya dipelopori kaum lelaki telah mula diminati oleh kaum wanita.

Naib Canselor UniMAP Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, walaupun angka tersebut menunjukkan jumlah pelajar lelaki lebih ramai tetapi persaingan bersama pelajar perempuan adalah sengit dengan perbezaan peratusan hanya 2.2%.

Jelasnya, kebolehpasaran graduan UniMAP 2022 mencatatkan 97% graduan telah memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduat.

"Ramai alumni UniMAP diterima bekerja di industri-industri besar seperti Oppstar yang 40% kakitangannya adalah graduan UniMAP. Begitu juga industri lain yang percaya akan kualiti graduan yang dihasilkan UniMAP seperti Intel, Micron, Keysight, Renesas, Jabil Circuit, Walta dan lain-lain,"jelas Prof. Datuk Dr. Zaliman.

Beliau memaklumkannya pada Majlis Taklimat Kepada Waris Bersama Naib Canselor sempena Minggu Suai Kenal (MSK) Sarjana Muda Sidang Akademik 2023/2024.

Bagi kemasukan kali ini, tiga pasangan kembar antara yang mendaftar sebagai pelajar baharu.

Mereka ialah Nur Arifah Haznul dan Nur Arina Haznul; pasangan Teoh Ling Jie dan Teoh Ling Sheng; serta J.Mithunan Jegathesan dan J.Mithran Jegathesan.


(FOTO MEDIA UniMAP)

Media Baharu