KOTA BHARU, 3 Oktober- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyerahkan sumbangan sebanyak RM73,350 kepada Orang Asli Pos Bihai dan Belatim, Gua Musang yang terjejas berikutan gangguan harimau sejak bulan lepas.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sumbangan yang mengandungi makanan asas itu merupakan inisiatif dalam membantu meringankan beban sejumlah 304 ketua isi rumah Pos Bihai dan 185 bagi Pos Belatim yang kini tidak dapat keluar mencari hasil hutan.
Menurut beliau, pihaknya difahamkan masih terdapat haiwan berkenaan yang berkeliaran di penempatan terbabit sehingga mengakibatkan penduduk ketakukan untuk keluar bagi mencari makanan dan mengusahakan ladang mereka.
"Saya rasa dengan sumbangan bantuan yang diberikan oleh MAIK kepada pendudu di sana dapat meringankan lagi cara hidup mereka dan diharpakn masalah harimau ini dapat diselesaikan juga dengan segera semoga mereka dapat kembali ke pos masing-masing,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Bakul Makanan Kepada Orang Asli Pos Bihai dan Belatin di perkarangan pejabat MAIK, Kota Bharu hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Kelantan dan Terengganu Zarina Razlan.
Tengku Mohamad Rizam berkata, MAIK komited dengan kerjasama pihak berkaitan dalam memastikan nasib golongan Orang Asli mendapat perhatian sewajarnya meskipun berada jauh di pedalaman.
Sementara itu, Zarina berkata, MAIK antara organisasi yang sering membantu masyarakat Orang Asli di Kelantan menerusi pelbagai bentuk sumbangan selain menganjurkan program-program berkaitan dakwah.
Terdahulu, media melaporkan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, berjaya menangkap seekor harimau belang berusia lingkungan dua tahun di Kampung Hak, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan, Jumaat lalu.
Perhilitan Kelantan dalam satu kenyataan berkata, harimau belang jantan yang dikenali sebagai Apek Bihai berjaya ditangkap setelah membaham beberapa ekor anjing peliharaan di kawasan kampung tersebut dan kampung sekitarnya.
(Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz)