fb fb fb fb fb

Lebih 2,000 individu ditahan terlibat judi

Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

IPOH, 1 Disember- Seramai 2,058 individu ditahan di Perak kerana terlibat dengan aktiviti perjudian.

Menurut Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, ia hasil 1,731 operasi yang dilakukan sehingga 29 November lalu menerusi Ops Dadu.

Dalam operasi tersebut, pihaknya turut merampas sebanyak 1,266 alat peranti dan merampas wang tunai berjumlah lebih RM295,000.

Terbaharu dalam operasi di sebuah rumah di Taman Bercham Makmur dilakukan kerana disyaki menjalankan kegiatan pusat panggilan serta judi dalam talian sejak tiga bulan lalu.

"Hasil operasi yang dijalankan tangkapan berjaya dibuat terhadap 10 orang lelaki dan perempuan terdiri daripada tiga lelaki, seorang perempuan, tiga lelaki warganegara Indonesia, seorang lelaki warganegara MYanmar dan tiga perempuan warganegara Indonesia.

"Manakala rampasan sebanyak tiga set komputer riba, dua buah router, dua buah buku kira-kira 14 buah telefon bimbit dan tiga buah meja kayu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) dan 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI