fb fb fb fb fb

Lebih 2,000 alat mainan seks bernilai RM70,000 dirampas - KDN

Masai, Johor merekodkan rampasan paling tinggi iaitu sebanyak 2,012 unit kerana melibatkan stor simpanan.

JOHOR BAHRU, 15 Februari- Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 2,295 unit alat permainan seks dianggarkan bernilai RM 70,000 bermula Januari sehingga 6 Februari lalu.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata ia menerusi empat serbuan membabitkan Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Perak,

Katanya, Masai, Johor merekodkan rampasan paling tinggi iaitu sebanyak 2,012 unit kerana melibatkan stor simpanan.

Ini diikuti Kuching, Sarawak sebanyak 135 unit, Bayan Lepas, Pulau Pinang (102) dan Ipoh, Perak (46).

"Menerusi operasi dijalankan, empat pemilik perniagaan termasuk seorang lelaki dan tiga wanita warga tempatan berumur dalam lingkungan 30-an turut ditahan. Jualan alat mainan seks dilihat semakin meningkat menerusi dalam talian serta secara terbuka di premis perniagaan. Peniaga diingatkan bahawa menjual alat mainan seks merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita menerusi sidang media di sini.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (ACMP) 1984 dan Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, pelbagai alat mainan seks dirampas sepanjang tahun lalu membabitkan jumlah keseluruhan bernilai RM1.3 juta.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM