SEREMBAN, 15 Februari- Seorang penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan melakukan perbuatan sumbang mahram dengan adiknya di sebuah kediaman di Sikamat tiga tahun lalu.
Tertuduh, berusia 22 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Menurut dua kertas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh telah melakukan sumbang mahram dengan melakukan persetubuhan dengan adiknya yang pada ketika itu berusia 12 tahun pada Januari dan Mac 2021 di kediaman mereka di Sikamat.
Tertuduh telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 376 B Kurungan Satu Kanun Keseksaan dan turut dibacakan bersama Seksyen 16 Kurungan Satu Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun serta sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang daripada dua sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Tertuduh juga perlu tinggal di rumah berlainan dengan mangsa dan sebutan semula kes 18 Mac depan.
Kes dikendalikan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh manakala tertuduh diwakili dua orang peguam, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.