KLANG, 29 September - Lebih 2,000 rakyat dijangka menyaksikan perarakan sempena Istiadat Pernikahan Diraja, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama pasangan Baginda, Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, Khamis ini.
Menurut Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain, selain rakyat Selangor khususnya kawasan Klang, semua sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor turut menghantar seratus wakil PBT masing-masing bagi memeriahkan istiadat berkenaan.
Beliau memaklumkan, selain itu, kerja pengindahan dan penyelenggaraan sempena Istiadat Pernikahan Diraja telah siap sepenuhnya.
"Pertama, kita telah memasang bendera pintu masuk daripada Lebuhraya Persekutuan menghala ke istana dengan pemasangan bendera negeri Selangor dan sekilas bendera juga telah dipasang di Shah Alam dan juga di PBT yang berhampiran.
"Kedua, Majlis Bandaraya Diraja Klang juga telah membuat persiapan dengan membuat hiasan landskap dan juga lampu jalan khususnya di Jalan Istana yang bermula daripada Galeri Diraja sehingga ke pintu masuk istana sehingga ke bulatan simpang lima. Jadi pada kerja-kerja tersebut khususnya berkaitan dengan landksap tinggal kerja-kerja touchup", katanya.
Katanya, sebanyak 2,000 bendera negeri Selangor turut dibekalkan kepada orang ramai ketika perarakan berlangsung.
Selain itu, laluan perarakan sepanjang Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz hingga pintu istana akan ditutup selewat-lewatnya pukul 8.00 pagi dengan perarakan istiadat itu dijadual bermula pukul 9.00 pagi.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Diraja Klang, MBDK di Dewan Raja Mahadi, Klang, hari ini.
Sementara itu, Abd Hamid berkata, bagi keselesaan pengunjung, Majlis Bandaraya Diraja Klang menyediakan kemudahan parkir di Stadium Sultan Suleiman dan parkir bertingkat berhampiran Stesen Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad Klang.
Manakala, dari aspek keselamatan, seramai 400 anggota Polis Diraja Malaysia akan bertugas sepanjang berlangsung istiadat berkenaan.