ENGKILILI, 25 Ogos - Seramai 132 penduduk melibatkan 35 pintu dari Rumah Buja dan Rumah Maria Balin di Kampung Marubong, Engkilili di Sri Aman terjejas akibat banjir pagi ini.
Daripada jumlah tersebut, 45 orang dari 12 pintu merupakan penduduk Rumah Buja, manakala 87 penduduk melibatkan 23 pintu adalah Rumah Maria Balin.
Laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO),Bomba Sarawak memaklumkan, berdasarkan rondaan yang dilakukan oleh anggota bomba mendapati rumah panjang itu telah dinaiki air setinggi 0.9 meter pada pukul 4.00 pagi tadi.
Paras air terus meningkat kepada 1.5 meter pada pukul 10.50 pagi.
PGO berkata setakat pukul 11.50 pagi ini, keadaan cuaca di kampung berkenaan dilaporkan mendung.