fb fb fb fb fb

Lebih 12 juta warganegara, pengembara direkodkan guna laluan KSAB dan CIQ BSI

ISKANDAR PUTERI, 20 Jun- Lebih 12 juta warganegara dan pengembara direkodkan menggunakan laluan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar ( BSI) di Johor sejak pembukaan sempadan, 1 April hingga 14 Jun lalu.

Daripada jumlah tersebut, 6.3 juta warganegara dan 2.3 juta warga asing menggunakan laluan BSI. Manakala, 2.7 juta warganegara dan 704,000 warga asing melalui CIQ KSAB.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kelancaran proses pembukaan sempadan itu adalah hasil kerjasama dan komitmen pihak terlibat di kedua-dua negara Malaysia-Singapura.

"Dalam tempoh yang sama, statistik purata masuk dan keluar warganegara Malaysia dan pengembara di CIQ BSI adalah seramai 138,000 orang sehari manakala di CIQ KSAB pula 28,000 orang.


(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi)

"Kerajaan Negeri Johor sedar bilangan keluar masuk pengguna di kedua-dua tempat itu mengalami peningkatan mendadak.

"Justeru saya telah berbincang dengan semua agensi bagi memastikan usaha dan komitmen yang lebih fokus demi menjamin imej dan reputasi kerajaan negeri dan persekutuan', katanya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) Johor di sini, hari ini.

Sebanyak 284 kaunter keluar dan masuk beroperasi di CIQ BSI, 169 kaunter di CIQ KSAB melibatkan 1,631 anggota Jabatan imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (722), Jabatan Pengangkutan Jalan (87)dan Polis Diraja Malaysia (206).

Sementara itu, lorong motosikal bakal ditambah kepada 75 lorong daripada 50 lorong sedia ada.

Manakala, lorong kereta dilaksana sistem 'Single Loading Double Capacity' bagi menjimatkan masa pemandu.

Selain, penggabungan kemudahan 'Touch and Go' di kaunter Imigresen bagi laluan kereta yang dijangka siap pada Februari tahun depan.

Beliau berkata demikian semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.

Media Baharu