fb fb fb fb fb

Lebih 100 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal di Kuala Perlis

Lebih 100 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal di Kuala Perlis

KUALA PERLIS, 26 Disember- Seramai 245 individu berusia antara 14 hingga 28 tahun ditahan untuk pemeriksaan menerusi Op Motosikal yang dijalankan bermula pukul 9.00 malam hingga 2.00 pagi tadi, di pesisiran pantai Kuala Perlis.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop dalam kenyataannya memaklumkan, hasil pemeriksaan ke atas penunggang motosikal terbabit, pihaknya mengeluarkan sebanyak 102 saman atas pelbagai kesalahan.

Ini termasuk 21 kes melibatkan tiada cermin sisi, tiada lesen memandu (16 ) dan tiada nombor pendaftaran sebanyak (14) kes.

Selain itu, kesalahan mengubah suai ekzos 10 kes, kesalahan lesen kenderaan motor (9), aksesori tidak sempurna (8) dan lain-lain kesalahan teknikal.

"Seramai empat remaja berusia 17 hingga 19 tahun terdiri daripada petani, peniaga dan dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Mereka ditahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana berlumba dan membahayakan pengguna jalan raya lain", katanya.

Tambahnya, pihak polis juga menyita sebanyak 9 buah motosikal atas kesalahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ROSLINA BINTI DIN