fb fb fb fb fb

Lebih 100,000 akses laman pornografi kanak-kanak, KDN ambil tindakan tegas

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Julai- Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius pengesanan lebih 100,000 alamat IP dari Malaysia yang mengakses laman web berkaitan pornografi kanak-kanak sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata tindakan tegas dan menyeluruh sedang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi berkaitan, bagi membanteras jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian.

Menurut beliau, dua operasi utama telah dijalankan iaitu Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC di peringkat nasional yang membawa kepada 13 tangkapan dan pendakwaan serta Operation Cyber Guardian melibatkan enam negara termasuk Malaysia yang menyaksikan empat individu lagi ditahan.

Turut dilaksanakan, usaha menyekat laman web yang memaparkan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak dengan ratusan laman telah dikenal pasti dan disekat secara berperingkat.

“Tindakan tegas dan menyeluruh telah dan sedang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kerjasama dengan agensi berkaitan bagi membanteras jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian,” katanya semasa menjawab di Dewan Rakyat hari ini.

PDRM turut menganggotai pasukan khas antarabangsa Violent Crime against Children International Task Force (VCACITF) yang diterajui FBI, bagi memperkukuh kerjasama memerangi jenayah itu di peringkat global.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM