fb fb fb fb fb

83 Projek Wakaf Air bernilai RM4 juta dilaksana, fokus bantu luar bandar

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Julai- Program Wakaf Air yang diperkenal pada 2021 diteruskan sehingga kini, bagi menangani isu bekalan air dan pembetungan di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sebanyak 83 projek berjaya dilaksanakan melibatkan kos hampir RM4 juta, setakat ini.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata inisiatif itu menyasarkan lokasi yang tidak dapat dicapai operator air serta kawasan dengan tekanan dan kapasiti air yang tidak mencukupi.

Menurutnya, program tersebut bermula susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kementerian dan Yayasan Waqaf Malaysia pada Disember 2020 dan masih berjalan sehingga hari ini.

PETRA menyokong pelaksanaan wakaf air sebagai salah satu kaedah pembiayaan alternatif dalam sektor bekalan dan pembetungan negara, terutama bagi projek berimpak sosial dan melibatkan komuniti.

"Kementerian menyokong inisiatif wakaf air sebagai salah satu instrumen pembiayaan inovatif yang mampu melengkapi sumber pembiayaan sedia ada, khususnya dalam menjayakan projek-projek bersifat komuniti dan berimpak sosial," katanya semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, pendekatan itu selari dengan dasar kerajaan dalam memperkukuh kemampanan bekalan air dan pembetungan melalui penglibatan lebih menyeluruh daripada sektor swasta serta masyarakat umum.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM