KUALA LUMPUR, 29 Julai - Kementerian Pengangkutan akan mewajibkan pemasangan Speed Limitation Device (SLD) atau sistem kawalan kelajuan automatik pada semua kenderaan perdagangan secara berfasa bermula 1 Oktober ini, sebagai langkah memperkukuh keselamatan jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sistem SLD berfungsi mengehadkan kelajuan kenderaan secara elektronik melalui Electronic Control Unit (ECU), tanpa perlu mematikan enjin seperti sistem cut-off .
Fasa pertama pelaksanaan melibatkan kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Januari 2015, manakala fasa kedua akan merangkumi kenderaan yang dibina sebelum tarikh tersebut mulai 1 Januari depan.
Fasa ketiga pula akan mewajibkan pemasangan retrofit bagi kenderaan yang tidak dilengkapi sistem SLD, bermula 1 Julai tahun depan.
"SLD merupakan sistem kawalan kelajuan automatik yang berfungsi mengehadkan kelajuan kenderaan secara elektronik melalui Electronic Control Unit (ECU), selari dengan matlamat mewujudkan kawalan kelajuan tanpa perlu mematikan enjin (cut-off), sekali gus tidak menjejaskan keselamatan operasi kenderaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Selain SLD, kerajaan turut melaksanakan pelbagai langkah lain bagi memperkukuh keselamatan jalan raya, termasuk penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar terhadap bas ekspres dan persiaran mulai 1 Julai lalu, penggantungan lesen memandu vokasional sekiranya terlibat dalam kemalangan serius, serta pembangunan pangkalan data khas pemandu kenderaan berat.
Turut diumumkan, penggunaan kamera badan oleh anggota JPJ di lapangan, rombakan sistem KEJARA, serta pelaksanaan sistem pengimbas berat berkelajuan tinggi (HS-WIM) bagi kenderaan perdagangan di pintu masuk pelabuhan.