fb fb fb fb fb

Lebih 10,000 anggota dan pegawai APM siap siaga berdepan MTL

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 9 Disember- Sebanyak 10,510 anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap siaga khusus untuk pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah.

Ia meliputi penugasan pengoperasian di lapangan seperti di pusat pemindahan sementara (PPS) dan operasi menyelamat di lokasi banjir.

Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kolonel (PA) Sharudin Md Zain berkata pelbagai kelengkapan aset turut disediakan yang meliputi 481 unit logistik darat seperti lori dan ambulans serta 759 logistk air terdiri daripada bot dan jetski.

"Persediaan kita untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), kita adakan beberapa siri simulasi dan latihan yang melibatkan agensi-agensi terlibat dalam latihan yang kita jalankan", katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.


(Lebih 10,000 anggota dan pegawai APM siap siaga berdepan MTL/BERNAMA)

"Sejak Oktober lepas sebanyak 69 kali kita adakan latihan-latihan melibatkan pengurusan bencana berasaskan komuniti.

"Kita sentiasa berhubung dengan Met Malaysia untuk mengetahui kawasan yang menerima kadar taburan hujan yang tinggi. Secara automatik, kita akan menggerakkan pasukan pemantau untuk berada di lokasi, bukan semestinya di kawasan 'hotspot'.

"Kerahan bagi aset-aset boleh dibuat serta-merta apabila kita dapat maklumat dari pasukan pemantau yang berada di lapangan" , katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dan segera berpindah ke PPS sekiranya lokasi kediaman mengalami taburan hujan yang tinggi melebihi satu jam.

Media Baharu