(Penahanan 14 anak kapal dan dua nakhoda dibuat melalui rondaan rutin menerusi Operasi Aman
di perairan Langkawi)
LANGKAWI, 9 Disember- Sebuah feri penumpang dan kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis kerana didapati memindahkan minyak secara haram di sini, semalam.
Pengarah agensi berkenaan, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata kedua-dua kapal tersebut ditahan di kedudukan 0.9 batu nautika, utara Pulau Dayang Bunting, di sini sekitar pukul 7.35 malam.
"Kedua-dua kapal tangki dan feri tersebut ditahan dalam keadaan yang mencurigakan dengan merapat antara satu sama lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Romli berkata, penahanan dibuat melalui rondaan rutin oleh bot maritim dalam Operasi Aman di perairan itu.
Jelas beliau, ketika pemeriksaan dijalankan pihaknya mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti pemindahan minyak atau ship to ship (STS) transfer.
Tambah Romli, kapal tangki terbabit membawa seorang nakhoda, lima kru warga Indonesia dan dua kru warga tempatan, manakala feri penumpang membawa seorang nakhoda bersama tujuh kru warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 63 tahun.
Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim, Bukit Malut untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen491B(1)(I) dan Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 keranadisyaki menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
"Maritim Malaysia juga amat menghargai kerjasama komuniti nelayan setempat dan berharap kerjasama akan diteruskan dari masa ke semasa.
"Sebarang aduan jenayah maritim salurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri kedah dan Perlis melalui talian 04-9662750 atau MERS 999," katanya lagi.
(Kedua-dua kapal ditahan dalam keadaan mencurigakan dengan
merapat antara satu sama lain)