fb fb fb fb fb

Isu seleweng RM600 bilion: SPRM fokus siasat dana RM92.5 bilion

PUTRAJAYA, 9 Disember - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima butiran daripada Kementerian Kewangan berhubung pecahan dana pakej ransangan ekonomi yang telah dibelanjakan oleh kerajaan berkaitan pengurusan COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021.

SPRM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion.

"Berdasarkan jumlah tersebut, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Oleh itu, fokus siasatan SPRM pada ketika ini terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion berkenaan.

"Pihak Kementerian Kewangan sedang memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada SPRM pada minggu hadapan," katanya lagi.

(Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak takut
untuk disiasat berhubung dakwaan seleweng dana RM600 bilion/FOTO BERNAMA)

Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama pada 5 Disember mendakwa  terdapat "pelanggaran" dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut.

Semalam, SPRM mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan beberapa pihak berkaitan penyelewengan wang perbelanjaan negara berjumlah RM600 bilion.

Ia susulan kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 yang pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 November lalu.

Pada 5 Disember, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata beliau tidak takut untuk disiasat susulan dakwaan penyelewangan itu.

Muhyiddin melalui kenyataanya berkata, jumlah sebenar yang dibelanjakan bukanlah RM600 bilion sebaliknya RM530 bilion merangkumi lapan pakej rangsangan ekonomi dan sebahagian besarnya berbentuk non-fiskal iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Berita Berkaitan:
Dana RM600 bilion: SPRM sahkan siasat dakwaan penyelewangan
Isu RM600 bilion, jangan cabar kerajaan - PM

Media Baharu