(Bung Moktar dan isteri,Zizie Izette di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 9 Disember- Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad gagal menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan bantahan awal pendakwaan itu selepas meneliti hujahan yang dikemukakan kedua-dua belah pihak.
Dalam hujahan pihak pendakwaan sebelum ini menyatakan kaedah pemfailan notis usul yang dibuat adalah salah dan bertentangan Seksyen 35 dan 36 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dibaca bersama Seksyen 325 dan 326 Kanun Acara Jenayah.
Jelas Azhar, permohonan semakan sepatutnya didengar atas budi bicara mahkamah dan bukannya melalui notis usul di mana mahkamah terpaksa mendengar merit.
Pada 2 September lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta melibatkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
(Bung Moktar dan isteri,Zizie Izette di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur)