fb fb fb fb fb

Lebih 1,000 usahawan Pantai Timur terima manfaat Program Entrepreneur ECER-SIRIM

(Datuk Mohd Shahar berswafoto bersama usahawan pada Majlis Graduasi Program Entrepreneur
ECER-SIRIM Zon Terengganu / Foto Facebook Shahar Abdullah)

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos- Sebanyak RM2.4 juta dibelanjakan bagi Program Entrepreneur ECER-SIRIM sejak 2015 hingga 2021.

Program itu memberi pulangan 3.4 kali ganda daripada nilai pelaburan.

Ia melibatkan nilai jualan tahunan berjumlah RM24.9 juta, meningkat 47 peratus selepas menyertai program berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata menerusi program itu seramai 1,064 usahawan Pantai Timur menerima manfaat. 

170 syarikat sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana pula berjaya mendapat pensijilan halal JAKIM.

Pihaknya juga sedia mempertimbangkan untuk menambah peruntukan sedia ada bagi memperkasa modul program termasuk jualan dan pengurusan produk.

“Sekiranya ia mempunyai impak yang berkesan, kita akan mempertimbangkan supaya peningkatan bukan sahaja kepada jumlah penyaluran kewangan tetapi kita harus memperkasa dari segi modul-modul bukan sahaja dari segi tumpuan kepada produk tetapi juga dari segi pengurusan untuk menembusi pasaran,” katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Graduasi Program Entrepreneur ECER-SIRIM Zon Terengganu di Kuala Terengganu.

Dalam majlis berkenaan, tiga usahawan yang mengikuti program itu berjaya menerima tempahan dengan nilai jualan keseluruhan RM600,000 hasil padanan perniagaan secara atas talian yang dilaksanakan ECER.


(Datuk Mohd Shahar (dua dari kanan) pada Majlis Graduasi Program Entrepreneur
ECER-SIRIM Zon Terengganu di Kuala Terengganu / Foto Facebook Shahar Abdullah)

Media Baharu