fb fb fb fb fb

Lebih 1,000 nelayan gagal patuh syarat dihentikan subsidi petrol, diesel

Muhammad Faiz Fadzil (tiga kanan)

SIMPANG EMPAT, 22 Februari- Lebih 1,000 nelayan di seluruh negara yang gagal mematuhi syarat ditetapkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dihentikan pemberian subsidi petrol dan diesel.

Ia susulan proses pemutihan yang dijalankan setiap bulan oleh LKIM bagi membolehkan subsidi berkenaan diterima individu sasar.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, antara syarat utama yang perlu dipatuhi nelayan bagi melayakkan mereka menerima bantuan subsidi adalah turun ke laut selama 120 hari dalam tempoh setahun dan aktif menjalankan kerja-kerja tangkapan ikan.

Berdasarkan rekod LKIM, terdapat seramai 86,000 nelayan berdaftar dengan 36,000 daripadanya merupakan penerima subsidi yang layak.

"Tiap-tiap bulan akan ada pemutihan, jadi kita tegas dengan syarat-syarat yang kita tetapkan, tidak ada kompromi dengan syarat itu.

"Jika mereka tidak aktif, mereka ada kerja sambilan atau mereka sudah tidak ke laut, (maka) kita akan beri (subsidi) kepada yang layak.

"(Ia) terutamanya golongan muda yang baru jadi nelayan dan mereka berharapkan kepada bantuan sara hidup dan jugak insentif minyak subsidi," katanya kepada pemberita selepas Program Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah di Pusat Transformasi Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Perlis Selatan, Kuala Sungai Baru, di sini, Perlis.

Pada program itu, seramai 100 anak nelayan menerima bantuan persekolahan dengan setiap seorang membawa pulang kupon tunai bernilai RM100, beg sekolah, topi, botol air, buku nota dan alat tulis.

SITI AISHAH MD ISA