fb fb fb fb fb

Perbadanan Putrajaya lancar dua pas bulanan tanpa had

Dr Zaliha Mustafa

PUTRAJAYA, 22 Februari- Perbadanan Putrajaya melancarkan dua jenis pas bulanan perjalanan tanpa had iaitu Nadi 30 dan Nadi 10 hari ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan ke arah bandar hijau neutral karbon.

"Ini adalah satu daripada inisiatif kita untuk mengurangkan karbon daripada kenderaan awam khususnya kenderaan persendirian.

"Jadi kita mahu menggalakkan warga Putrajaya menggunakan perkhidmatan awam khususnya bas yang kita berikan," katanya dalam sidang media Majlis Aspirasi 2024 Jabatan Wilayah Persekutuan di sini.

Zaliha berkata Nadi10 melibatkan kategori warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Manakala Nadi30 dikhususkan kepada semua pengguna perkhidmatan bas Nadiputra.

Bagaimanapun kad tersebut hanya dikhususkan buat warganegara dan permohonan untuk memilikinya boleh dibuat orang ramai secara dalam talian.

Maklumat lanjut berkenaan permohonan pas bulanan tersebut boleh diperolehi melalui portal Perbadanan Putrajaya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI