MIRI, 30 Jun - Program Sarawak Eco Run 4.0 Peringkat Negeri mencatatkan penyertaan tertinggi dengan kehadiran seramai 1,322 peserta, menjadikannya antara lokasi paling meriah dalam penganjuran acara tahunan ini.
Acara berlangsung di Taman Bulatan Miri itu turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni merangkap Ahli Parlimen Sibuti, yang melahirkan rasa puas hati terhadap sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat, khususnya golongan muda.
Menurut beliau, penglibatan aktif anak muda dalam program seumpama itu membuktikan kesedaran yang semakin tinggi terhadap kepentingan kecergasan dan amalan gaya hidup sihat.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Miri, Caroline Siburat menyuarakan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan tetap dalam kalendar aktiviti komuniti.
"Kami berharap agar lebih banyak pihak tampil memberi sokongan untuk menjayakan penganjuran program sebegini pada masa akan datang,” katanya.
Sarawak Eco Run 4.0 adalah inisiatif tahunan Majlis Pengakap Negeri Sarawak yang dijalankan secara serentak di seluruh negeri itu.
Ia sebahagian daripada usaha memupuk gaya hidup sihat dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Penganjuran edisi di Miri turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Miri, Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, pihak sekolah serta sokongan padu daripada para ibu bapa.