fb fb fb fb fb

Lawatan sulung Nancy Pelosi dan delegasi kongres AS tiba di Malaysia

SUBANG, 2 OGOS - Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi tiba di Pangkalan Udara (TUDM) Subang pagi Selasa untuk lawatan kerja selama sehari di negara ini.

Beliau tiba pada pukul 10.30 pagi tadi dengan menaiki pesawat tentera AS dan diiringi beberapa delegasi kongres dari AS.

Ketibaan beliau disambut Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Duta AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters.

Beliau seterusnya akan mengadakan pertemuan bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun di Bangunan Parlimen pada tengah hari.

Sejurus itu, beliau dijadual akan menyertai majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di ibu negara.

Nancy mengetuai lawatan rasmi delegasi kongres ke empat negara Asia-Pasifik termasuk Malaysia, Singapura, Korea Selatan dan Jepun.

Lawatan rasmi Pelosi ke Kuala Lumpur menjadi lokasi persinggahan kedua beliau selepas melawat Singapura pada Isnin sebelum ke Korea Selatan dan Jepun.

"Lawatan itu antara lain akan menumpukan kepada isu keselamatan bersama, perkongsian ekonomi dan tadbir urus demokratik di rantau Indo-Pasifik," memetik kenyataan akhbar pejabat Pelosi.

Anggota delegasi terdiri daripada ahli Demokrat termasuk Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan, Gregory Meeks dan ahli Jawatankuasa Pilihan Tetap mengenai Perisikan serta Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata.

Media Baharu