fb fb fb fb fb

Lawatan rasmi PM ke Singapura: Produktif, memberangsangkan

(Foto JPM)

SINGAPURA, 30 Januari- Perbincangan yang produktif dan membuahkan hasil memberangsangkan. Itu yang dapat digambarkan hasil lawatan rasmi sehari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura pada hari ini.

Rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong positif pertemuan dengan Datuk Seri Anwar akan terus mengeratkan lagi kerjasama rapat memajukan perhubungan kedua-dua negara demi kepentingan bersama.

Beliau berkata pertemuan itu dapat menyelesaikan beberapa isu melibatkan kedua-dua negara dan membuka ruang kepada kerjasama baharu yang boleh diperbaik.

Tiga perjanjian dimeterai antara Malaysia dengan Singapura dalam lawatan rasmi yang singkat ini.


(Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong/JPM)

Dua rangka kerja melibatkan kerjasama dalam ekonomi digital dan ekonomi hijau ditandatangani Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan rakan sejawatannya, Gan Kim Yong bagi pihak Singapura.

Sementara Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pula mewakili Malaysia untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mempromosikan kerjasama dari aspek data, keselamatan siber dan ekonomi digital.

Beliau optimis, MoU berkenaan akan membuka ruang untuk berkongsi kepakaran.

"Kita juga akan mengenal pasti agensi yang akan diberi keutamaan untuk mewujudkan Meja Bulat Keselamatan Siber Malaysia-Singapura yang akan diadakan setiap tahun. Ini adalah satu langkah yang sangat positif," katanya. 

Meskipun kedua-dua negara mencapai banyak kejayaan bersama dalam beberapa dekad yang lalu, Anwar yakin masih ada potensi besar untuk meningkatkan hubungan ke tahap yang lebih tinggi bagi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Laporan disediakan oleh Ravin Sanmugam

Media Baharu