fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke Singapura langkah proaktif buka peluang pacu pertumbuhan ekonomi

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Singapura
Halimah Yacob di Istana bersama delegasi Malaysia/FOTO Facebook Anwar Ibrahim)

SINGAPURA, 31 Januari - Usaha memperkukuh serta mempertingkat hubungan kerjasama Malaysia-Singapura dilihat semakin komprehensif dan strategik .

Selesainya lawatan rasmi sehari ke negara itu semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kedua-dua negara akan mempercepat pelaksanaan pelbagai perancangan yang dibincang bersama.

Sekali gus langkah proaktif itu membuka ruang dan peluang bagi memacu pertumbuhan ekonomi dalam suasana politik yang stabil dan hubungan yang lebih akrab.

Lawatan ringkas kurang 24 jam itu turut menyaksikan tiga perjanjian dimeterai Malaysia dan Singapura.

Dua rangka kerja melibatkan kerjasama dalam ekonomi digital serta ekonomi hijau ditandatangani Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan rakan sejawatnya, Gan Kim Yong.

Manakala, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil menandantangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mempromosi kerjasama melibatkan Data dan Keselamatan Siber, juga Ekonomi Digital.

Kunjungan Anwar turut menyalurkan bukan sahaja kepentingan negara tetapi rakyat dengan menyuarakan isu kesesakan di pintu sempadan, bekalan air selain isu Pulau Batu Puteh. 

Perdana Menteri turut yakin penerokaan bersama Malaysia-Singapura mampu mewujudkan kerjasama baharu dalam bidang keterjaminan makanan.

"Pelbagai isu perlu diberi tumpuan, termasuk isu-isu yang sedang dibincangkan oleh menteri-menteri. Dengan cabaran besar dalam aspek teknologi baharu.

"Sebagai rakan kongsi, kita mesti seiring ke hadapan, bukan sahaja dalam perdagangan, tambak, pelaburan, Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang perlu dilakukan untuk manfaat rakyat," kata Anwar dalam lawatannya ke Singapura semalam.

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri majlis makan tengah hari rasmi
yang dihoskan Perdana Menteri Lee Hsien Loong sebelum menamatkan pertemuan di The Istana, Singapura/FOTO Facebook Anwar Ibrahim)

Bagi Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Rakyat Singapura-Malaysia mempunyai pertalian kekeluargaan yang mendalam.

Perkongsian istimewa itu meliputi pelbagai lapangan termasuk sejarah dan budaya.

Beliau yakin meskipun sudah banyak kerjasama di capai dalam beberapa dasawarsa yang lalu, hubungan yang terjalin boleh ditingkatkan lagi ke tahap tertinggi di bawah kepimpinan Anwar demi manfaat rakyat.

"Kita bekerjasama dalam bidang kesihatan, pendidikan, budaya, rantaian bekalan, kesalinghubungan dan banyak lagi. Singapura sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia.

"Singapura juga pelabur asing terbesar Malaysia dengan lebih $56 bilion pelaburan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Polisi dan Hal-Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE), Dr Zokhri Idris berkata pengalaman luas dan latar belakang politik Anwar diyakini berupaya meningkatkan martabat Malaysia sebagai negara tersohor yang dihormati dunia.

Bakat PM dalam aspek diplomasi bukan sahaja dilihat dalam lawatan luar negara lain tapi kita lihat kebolehan PM dalam mengemudi internal dalam negara.

"Ini akan diterjemahkan kepada keharmonian dan dua hala antara malaysia dan negara-negara yang lain dan di sinilah bagaiaman ia nilai tambah diletakkan dalam Malaysia dan Singapura menyelesaikan isu dalam aspek dalam kedua-dua negara," katanya ketika dihubungi RTM.

Pertemuan kedua-dua pemimpin sebagai jiran dan kawan rapat mencipta situasi menang-menang dengan faedah ketara untuk rakyat dan ekonomi.

Kejayaan ini merupakan kesinambungan objektif daripada dua misi lawatan Perdana Menteri ke Indonesia dan juga Brunei Darussalam baru-baru ini .

Laporan olej Ravin Sanmugam. Ravin merupakan wartawan RTM yang mengikuti lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura.

Media Baharu