fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke China cerminkan hubungan strategik dua negara

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad (tengah) pada sidang media di Tianjin hari ini. - Foto BERNAMA

TIANJIN, 30 Ogos - Malaysia dijemput menyertai lebih 20 pemimpin dunia pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 yang kelima di Tianjin, China.

Itu antara fokus utama rangka lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Ke China selama empat hari bermula esok hingga 3 September ini.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Beijing, Datuk Norman Muhamad, lawatan keempat Perdana Menteri ke China sejak 2023 ini merupakan manifestasi terhadap hubungan akrab dan strategik Malaysia-China.

Datuk Seri Anwar akan terlibat dalam enam program rasmi, termasuk memberikan ucapan pada sidang kemuncak SCO 2025.

Pada sidang tersebut, Presiden Rusia, Vladimir Putin, Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dijangka hadir.

“Malaysia bukanlah negara anggota kepada SCO ini, juga bukan negara pemerhati tetapi kita dijemput atas dua sebab pertama kerana Malaysia merupakan Pengerusi Asean pada tahun ini dan juga kedua adalah kerana hubungan yang amat rapat antara Malaysia dengan China, “ katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.

Katanya antara acara kemuncak lawatan termasuk kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping di Beijing serta mesyuarat dua hala dan makan malam rasmi yang dihoskan Perdana Menteri China, Li Qiang.

Selain turut menghadiri perarakan hari kemenangan untuk menandakan 80 tahun tamat perang dunia kedua.

“Antara perkara yang dibincangkan oleh kedua pemimpin adalah mengenai hala tuju dalam hubungan Malaysia-China dan juga hala tuju dalam hubungan antara negara-negara dirantau.

“Perdana Menteri akan mengutarakan beberapa cadangan untuk perkongsian dan juga kerjasama antara Malaysia dengan China bukan sahaja terhad pada pelaburan dan perdagangan tetapi juga dalam bidang lain, “ tambah beliau.

Pada lawatan itu juga Datuk Seri Anwar akan menyampaikan syarahan umum bertajuk "Sovereign Interdepence: Building A Shared Future In Asia di Universiti Tianjin pada 1 September.

Selain bakal bertemu dan mengadakan beberapa siri dialog perniagaan dengan pelabur dari China, Perdana Menteri akan ditemu bual secara eksklusif oleh China Global TV Network (CGTN) di Beijing.

TUN JULIA MOHD TAHIR