fb fb fb fb fb

35 Program Denai Sungai Kebangsaan dilaksanakan tahun ini

Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli, hari ini merasmikan Projek Denai Sungai Langat, Kuala Langat yang dimulakan 7 April dan siap pada 2 Jun/Foto Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia - JPS

SHAH ALAM, 30 Ogos - Sebanyak 35 Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) dilaksanakan di seluruh negara tahun ini, dalam usaha kerajaan melindungi kelestarian sungai sebagai sumber air utama negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata, program itu antara lain bertujuan mewujudkan rasa kebersamaan, selain meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab masyarakat dalam pemeliharaan sungai bagi mengurangkan pencemaran.

“Selain itu, pembinaan denai juga dapat menggalakkan aktiviti di kawasan sungai dan merancakkan ekonomi seperti ekopelancongan sungai dengan enam program DSK diadakan di Selangor.

“PETRA merakamkan penghargaan kepada kerajaan Selangor atas kerjasama erat menjayakan Program DSK serta komitmen bersama terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan sungai, sejajar dengan teras kemampanan dan kesejahteraan dalam Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Mad Zaidi hari ini merasmikan Projek Denai Sungai Langat, Kuala Langat yang dimulakan 7 April dan siap pada 2 Jun, melibatkan penaiktarafan denai sepanjang 1.3 kilometer (km).

Terletak bersebelahan Taman Rekreasi Paya Bakau Kampung Sijangkang, pengunjung boleh menikmati denai sejauh 2.6km bagi satu pusingan lengkap. - BERNAMA

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI