KUALA LUMPUR, 30 Ogos - Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima sumbangan daripada enam syarikat, menerusi dana Wakalah Zakat berjumlah RM220,000. Ia sekali gus membolehkan 22 siri jelajah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam sekitar Wilayah Persekutuan dilaksanakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, sokongan korporat dan masyarakat amat penting bagi memastikan agenda kebajikan umat Islam dapat diteruskan dengan jayanya.
“Mereka ini adalah pembayar zakat kepada PPZ-MAIWP, sebahagian peratusan diketepikan sebagai wakalah untuk membina manfaat khususnya di Wilayah Persekutuan. Kita harapkan hubungan baik ini berterusan antara golongan asnaf yang dibantu dengan syarikat serta individu yang Allah SWT kurniakan rezeki,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Cakna WAZAT PPZ-MAIWP bersama komuniti PPR Seri Semarak, Setapak, hari ini.
Setiap siri jelajah akan menyalurkan sumbangan dalam bentuk bakul rezeki bernilai RM100 kepada 100 penerima asnaf di setiap lokasi.
Antara syarikat yang terlibat ialah TEKUN Nasional, Amanah Raya Berhad dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
WAZAT merupakan gabungan konsep wakaf dan zakat yang dilaksanakan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kedua-dua ibadah tersebut.
Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Sri Amrin Awaluddin.