KAJANG, 25 April- Lebih 500 banduan di Penjara Kajang dibenar bertemu ahli keluarga sejak semalam, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Suasana pilu dan hiba menyelubungi apabila mendengarkan perbualan antara penghuni bersama keluarga.
Pertemuan yang penuh emosi dengan air mata itu direalisasikan menerusi Lawatan Khas Aidilfitri 2023 di Penjara Kajang.
Dipisahkan dengan dinding kaca dan hanya berbicara menerusi telefon, jelas terpancar keceriaan diwajah mereka menerima kunjungan orang tersayang.
Bagi Muhammad Sabri, pertemuan bersama abangnya cukup bermakna selepas hampir lapan tahun tidak bersua.
"Sudah hampir lapan tahun saya tidak bersemuka dengan dia, kalau boleh saya nak peluk namun dihalang cermin kaca,
"Saya lihat dia termenung namun banyak perkara yang saya ceritakan kepadanya," jelas Sabri.
Seorang bapa turut mengakui teruja dapat bertemu dengan anaknya selepas hampir dua tahun tidak berjumpa pada perayaan Aidilfitir ekoran pandemik COVID-19.
"Sebagai bapak kita redha dan kita harap dia tidak akan mengulangi kesalaham sama. Kita kena terima hakikat,
"Namun saya percaya apabila dia masuk ke dalam penjara, ramai yang boleh membimbingnya untuk mengenal baik dan buruk."
Bagi Sofea (bukan nama sebenar), mengakui terkilan dengan berita bekas suaminya dimasukkan ke penjara, namun perlu kuat demi anak-anak tersayang.
"Kita hanya mampu berdoa supaya Allah membuka hatinya untuk berubah demi anak-anak dan diri sendiri,"
Sementera itu, Ketua Inspektor Penjara Kajang, Zameri Daud memberitahu, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelawat bertemu penguninya.
Ia penting bagi membantu memulihkan semangat dan sokongan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.
(Zameri Daud)
"Kami mengharapkan lebih ramai ahli keluarga untuk datang melawat banduan demi memberi sokongan kepada mereka secara bersemuka,
"Malah pada pertemuan kali ini kami lebih bersiap sedia menerima jumlah pengunjung yang ramai dengan menambah jumlah petugas ketika perayaan Aidilfitri," katanya di sini.
Pihaknya turut melaksana sistem tempahan janji temu bagi mempercepat urusan lawatan.
"Sebelum ini proses lawatan mengambil masa lama kerana perlu memanggil satu persatu banduan dari sel, namun menerusi sistem tempahan mereka boleh bersida lebih awal," tambahnya.
Pada 14 April lalu Jabatan Penjara mengumumkan kebenaran keluarga semua penghuni penjara dibenarkan membuat lawatan perjumpaan sempena sambutan Aidilfitri pada Hari Raya ketiga dan keempat.
Semua lawatan berkenaan melibatkan Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney dengan memberi keutamaan lawatan diberi kepada penghuni beragama Islam.
Selain kaedah bersemuka, perjumpaan secara dalam talian (panggilan video) juga dibenarkan iaitu pada 26 hingga 28 April ini.