BESERI, 25 April- Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini berserta cuti yang panjang menjadi sumber pendapatan berlipat ganda buat pengusaha inap desa berikutan tempahan diterima begitu menggalakkan.
Antaranya ialah Inap Desa MyKampung, Beseri salah satu inap desa yang menjadi pilihan perantau setiap kali pulang berhari raya ke kampung halaman di Perlis.
Bagi Penyelaras Inap Desa MyKampung Beseri Perlis, Mohd Izwan Izhar Haris, inap desa ini mula beroperasi sejak tahun 2007 yang menawarkan sembilan buah Inap Desa dengan kapasiti sebanyak 27 buah bilik untuk keperluan pelanggan.
Untuk Aidilfitri, kebiasaan tempahan dibuat sebulan lebih awal dan penuh sepanjang minggu Aidilfitri dengan harga ditawarkan antara RM100.00 hingga RM120.00 semalam bagi sebuah bilik, manakala RM170.00 hingga RM270.00 bagi sebuah rumah.
Menurut Penyelaras Inap DesaMy Kampung Mohd Izwan Izhar Haris keunikan di inap desa ini, "disebabkan suasana kampung, dan disebabkan itu kita namakan dia Inap Desa MyKampung.
"MyKampung itu lebih kepada macam dialek Melayu macam kedengaran macam 'Mai Kampung', datanglah ke sini. Jadi orang luar bila Aidilfitri tempah awal untuk menginap di sini."
Bagi pengunjung, rumah keluarga yang sempit dan tidak dapat menampung jumlah yang ramai menyebabkan mereka tinggal di inap desa berdekatan.
Pelanggan yang ditemui RTM Ahmad Yaacob, dia lebih memilih untuk tinggal di inap desa disebabkan keluarga yang ramai, "saya juga juga selalu berurusan di sekitar Pulau Pinang, Perak dan Perlis. Jadi apabila pulang ke kampung di Perlis, saya tidak mahu menyusahkan orang tua. Adik-beradik pun ramai."
Selain penduduk tempatan yang menyewa Inap Desa MyKampung, ia turut menjadi persinggahan pelancong asing yang berkunjung ke Perlis.
(Mohd Izwan Izhar Haris)