PUTRAJAYA, 27 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri beberapa sesi penting dalam lawatan kerjanya ke Riyadh, Arab Saudi bersempena Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) bermula hari ini sehingga 29 April.
Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan mesyuarat yang bertemakan “Global Collaboration, Growth and Energy Development” itu akan memberi tumpuan kepada isu pembangunan mampan, keselamatan tenaga, perdagangan dan pelaburan serta isu-isu geopilitik semasa.
Pembukaan mesyuarat akan dimulakan sesi panel yang bertemakan New Vision for Global Development yang dihadiri Perdana Menteri dan pemimpin -pemimpin negara lain.
"Anwar juga akan menyampaikan ucaptama dalam sesi Joint Regional Strategy Dialogue on ASEAN- Gulf Cooperation Council yang mengetengahkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan. Perdana Menteri turut dijadual menghadiri Country Strategy Dialogue yang membolehkannya berinteraksi dengan pemimpin industri dunia.
"Sesi ini membolehkan Anwar menyampaikan peluang-peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Malaysia meliputi keutamaan strategik dan inisiatif negara, pertumbuhan ekonomi dan fiskal serta peluang perdagangan dan pelaburan," kata Wisma Putra menerusi kenyataan.
Anwar juga dijadual akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatannya bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa.
Lawatan kerja Anwar pada Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia atas jemputan Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga Perdana Menteri Arab Saudi akan mengukuhkan hubungan erat persahabatan peribadi di antara kedua pemimpin serta kerjasama kedua-dua negara.