fb fb fb fb fb

Pacuan 4x4 bertembung, tiga maut

Foto Polis

KUALA KRAI, 27 April - Sekurang-kurangnya tiga maut manakala lima lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, di sini tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada pukul 12.36 tengah malam.

"Seramai 17 anggota dari BBP Kuala Krai dan BBP Sungai Durian digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati dua kenderaan pacuan empat roda bertembung dengan lapan penumpang berada di dalam kedua-dua kenderaan terbabit," kata Nik Ahmad.

Dalam kejadian tersebut Rescue Power Unit digunakan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam salah sebuah kenderaan tersebut.

Bagaimanapun tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala lima lagi cedera parah.

Kesemua mangsa yang meninggal ialah dua lelaki dan seorang wanita diserah kepada polis manakala mangsa yang cedera parah di hantar ke Hospital Kuala Krai.

Operasi ditamatkan pada pukul 4.15 pagi.

TETITIA YUSOFF