fb fb fb fb fb

Latihan keusahawanan bantu golongan wanita di Sabah jana pendapatan

Golongan wanita mengikuti kursus Penghasilan produk Berasaskan hasilan Laut di Sabah/Foto Facebook JHEWA

KOTA KINABALU, 22 Jun - Pejabat Daerah Beaufort akan melaksana pelbagai inisiatif bagi memberi sokongan kepada usahawan wanita di daerah itu termasuk promosi dan latihan keusahawanan.

Pegawai Daerah Beaufort berkata, ketika ini, kira-kira 400 wanita di daerah itu terlibat dalam bidang keusahawanan yang menghasilkan pelbagai produk.

"Latihan seumpama ini untuk membantu para usahawan wanita termasuk menjalankan latihan dan menghantar usahawan-usahawan golongan wanita ini ke agensi-agensi terlibat supaya mereka dapat memperolehi ilmu pengetahuan info berkaitan dengan apa yang perlu mereka buat terutama sekali untuk memasarkan produk-produk mereka," kata Nazri selepas program Info Room Usahawan Wanita di Pusat Wanita Sabah, di sini semalam.

Beliau berharap, jumlah usahawan wanita di daerah itu bertambah dengan pewujudan Info Room yang merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) Hajah Haslina Ismail berkata Info Room Usahawan Wanita merupakan platform bagi membantu usahawan wanita mendapatkan maklumat daripada agensi-agensi terlibat dalam keusahawanan.

"Kita sebenarnya sudah merancang akan ada satu tempat khusus khas maksudnya kita sediakan tempat di wisma wanita untuk membuat satu Info room dan yang ini kita bawa hari ini adalah info room berkenaan," katanya.

Program ini disertai 17 agensi termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Yayasan Usahawan Maju, MARA dan Amanah Raya berhad.

GRACE AISYAH KEDAYAN