IPOH, 26 Januari- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan memberi latihan kepada pengurusan serta pengawal beberapa tokong, kuil dan gua di negeri ini yang menjadi tumpuan pelancong sebagai usaha meningkatkan kesedaran berkaitan aspek keselamatan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Azmi Osman berkata,
latihan menyasar kepada pengurusan serta pengawal kawasan gua termasuk rumah ibadat di negeri itu, berkenaan prosedur penyelamatan pada tahun ini.
Azmi berkata, sebagaimana tugas hakiki pengawal keselamatan di tempat lain, golongan itu harus bertindak pantas sewaktu berlaku sebarang kecemasan
"Kebanyakan gua di Perak mempunyai pengawal yang mungkin boleh bertindak dahulu jika berlaku sesuatu. Menyediakan pengawal di premis terbabit cukup penting, oleh itu perlunya elemen pengetahuan dan pendedahan supaya mereka bertindak cepat.
"Pengawal keselamatan sama ada penjaga di gua atau di pusat perniagaan keseluruhannya, perlu didedahkan dengan elemen pengetahuan berkenaan.
"Saya yakin sekiranya mereka memberi komitmen, ia dapat direalisasikan memandangkan hal ini sememangnya termasuk dalam pelan kontingensi JBPM Perak," katanya dalam sidang media Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Tahun Baharu Cina di Pasaraya TF Value Mart, Falim, di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media mengenai persiapan pihaknya mendepani situasi kedatangan pengunjung ke rumah ibadat di gua sekitar daerah Kinta sempena perayaan TBC selepas sebahagian rumah ibadat berkenaan diancam risiko keselamatan terutama runtuhan.
Sebelum ini media melaporkan beberapa kuil di daerah Kinta telah diberikan notis pengusiran awal bulan ini berikutan faktor keselamatan.
Sehubungan itu, satu jawatankuasa ditubuhkan oleh kerajaan negeri Perak susulan isu pencerobohan dan kegiatan pembinaan struktur tidak terkawal di rumah ibadat dalam gua yang boleh mengundang ancaman keselamatan termasuk risiko runtuhan.
Jawatankuasa itu bagi menentukan status rumah ibadat berkenaan yang terletak di atas tanah kerajaan sama ada ingin dikekalkan melalui kaedah perizaban, lesen pendudukan sementara, atau pajakan tanah rezab.
Sementara itu, Azmi berkata pemeriksaan pihaknya di beberapa gua mendapati kebanyakan gua telah dilengkapi dengan pelan kontingensi keselamatan termasuk penyediaan pemadam api dan pemasangan sistem pendawaian yang baik.
Katanya, pihaknya bagaimanapun mengakui hampir keseluruhan gua merangkumi rumah ibadat serta gua rekreasi yang dimaksudkan mematuhi aspek keselamatan berkenaan sistem kebombaan seperti sistem pendawaian yang kondusif selain penyediaan alat pemadam api.
"Hampir 40 gua termasuk yang dijadikan pusat rekreasi seluruh Perak yang kita lawati didapati kebanyakan mempunyai pengawal tersendiri selain sistem kebombaan berada pada tahap baik. Namun, dari segi struktur gua, saya tidak dapat beri sebarang komen kerana itu bukan kepakaran bomba.
"Jadi kita tidak akan meletakkan anggota di gua terbabit memandangkan kajian kita mendapati 'response time' (masa bertindak) kita antara Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terdekat dengan gua terbabit sudah memadai selain khidmat agensi sokongan," katanya.
Sementara itu, Azmi berkata setakat semalam, daripada 34 premis yang diperiksa. sebanyak lapan notis dikeluarkan pihaknya berkaitan aktiviti menghapus bahaya kebakaran musim Tahun Baharu Cina kali ini.
Katanya, selain itu Ops Ronda Raya Musim Perayaan Tahun Baharu Cina kali ini menyasarkan sekurang-kurangnya enam titik panas utama yang setiap satu akan menempatkan seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera bagi tindakan kecemasan pantas.
Ia merangkumi tiga di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dalam Perak iaitu Plaza Tol Tapah, Kuala Kangsar, dan Kamunting, selain laluan Lebuhraya Timur-Barat, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dan Jalan Teluk Intan-Kuala Selangor.