fb fb fb fb fb

Laporan transaksi mencurigakan meningkat -BNM

(Penipuan melalui internet dan telefon serta penipuan berkaitan pelaburan antara lima isu
yang paling kerap diajukan oleh orang ramai melalui BNMTELELINK pada 2021/FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 30 Mac -Bilangan Laporan Transaksi yang Mencurigakan (STR) dikemukakan oleh institusi pelapor meningkat sebanyak 43 peratus kepada 191,387.

Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2021, STR mencatat trend peningkatan sekitar 30 peratus setahun, antara tahun 2014 hingga 2021.

"Terdapat peningkatan yang ketara dalam STR berkaitan dengan penipuan, apabila penjenayah mengambil kesempatan daripada situasi pandemik untuk mengeksploitasi mangsa melalui penipuan yang berkaitan dengan produk perubatan, peluang pelaburan dan program bantuan kerajaan,” kata BNM.

Katanya, STR mengenai kesalahan cukai juga bertambah, menunjukkan terdapat peningkatan dalam kegiatan pengelakan cukai dan pelaporan pendapatan yang lebih rendah.

Sementara itu, BNM berkata, aduan mengenai penipuan kewangan, terutama penipuan melalui internet dan telefon serta penipuan berkaitan pelaburan antara lima isu yang paling kerap diajukan oleh orang ramai melalui BNMTELELINK pada 2021.

BNMTELELINK mengekalkan bilangan interaksi yang tinggi dengan kira-kira 300,000 interaksi pada tahun 2021, apabila orang ramai dan perniagaan terus menghubungi bank melalui telefon, e-mel dan secara dalam talian.

Katanya, BNM dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, terus meningkatkan usaha untuk mendidik orang ramai mengenai penipuan kewangan.

BNM berkata, salah satu inisiatif utama bank ialah membuat hantaran peringatan dengan kerap melalui halaman Facebook Amaran Scam, dengan lebih daripada 320 hantaran dibuat sepanjang 2021. Sejak dilancarkan pada 2020, halaman itu mendapat 39,000 pengikut.

Katanya, pada tahun lalu terdapat penurunan sebanyak 11.2 peratus dalam pertanyaan dan aduan berkaitan penipuan yang diterima oleh BNM, berdasarkan Laporan Tahunan BNM.

"BNM juga menyiarkan siri webinar tujuh episod mengenai penipuan kewangan sempena Bulan Literasi Kewangan pada Oktober 2021.

(BNM terus meningkatkan usaha mendidik orang ramai mengenai penipuan kewangan termasuk
membuat hantaran peringatan lebih kerap menerusi Facebook Amaran Scam dan siri webinar mengenai penipuan kewangan)

"Webinar yang memberi fokus kepada penipuan kewangan yang lazim berlaku di Malaysia seperti penipuan Skim Cepat Kaya, Macau Scam, Akaun Keldai, Memancing Data dan e-Dagang, dijalankan dalam pelbagai bahasa untuk mendekati komuniti Melayu, Cina dan India.

"BNM turut mengadakan 47 sesi perbincangan dalam talian melalui stesen radio negeri dan webinar secara maya mengenai penipuan kewangan pada peringkat wilayah, untuk khalayak sasaran seperti pesara, kakitangan kerajaan dan komuniti universiti.

"Bank meningkatkan keberadaan digital, menyediakan lebih banyak kandungan serta memastikan bahawa perkhidmatan dalam talian terus boleh diakses untuk memastikan pihak yang terjejas mengetahui bahawa bantuan tetap tersedia untuk membantu mereka mengharungi tempoh kesusahan," kata BNM.

Sepanjang 2021, BNM terus memanfaatkan pelbagai saluran komunikasi bagi meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai saluran dan mekanisme yang tersedia untuk pihak yang terjejas akibat krisis kesihatan bagi mendapatkan bantuan.

"Bank juga mengkaji semula kandungan halaman utamanya untuk pengalaman yang lebih mesra peranti mudah alih, yang melihat paparan laman sesawang lebih responsif terhadap peranti yang berbeza untuk peranti mudah alih dan pengguna komputer meja.

"Selain keberadaan dalam platform Facebook, Instagram, Twitter, LinkedIn dan YouTube, BNM juga memperluas keberadaan dalam platform Telegram untuk meluaskan jangkauannya," menurut laporan tahunan BNM.

Media Baharu